suria

Filipina, Malaysia Buru Enam Penculik Paling Dikehendaki

Militan Abu Sayyaf berkumpul di lokasi yang tidak didedahkan.

KOTA KINABALU: Enam daripada 23 ahli kumpulan penculik Filipina yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia, turut menjadi buruan kerajaan negara tersebut.

Menurut kenyataan yang disiarkan oleh Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur pada Selasa, enam individu terbabit iaitu Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Hatib Hayan @ Sawadjaan, Alden Bagde @ Sayning, Muamar Askali @ Abu Rami, Idang Susukan dan Alhabsy Misaya memiliki waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah Filipina.

Keenam-enam penculik itu yang merupakan pemimpin utama dalam kumpulan militan Abu Sayyaf, antara 16 individu yang diburu oleh pihak keselamatan Filipina di wilayah sulu dan Basilan.

Pihak Kedutaan Filipina turut menyatakan tentang ancaman kumpulan penculik Muktadil Bersaudara, beberapa ahli kumpulan itu tersenarai dalam penjenayah paling dikehendaki di Malaysia, telah lumpuh susulan kematian Mindas Muktadil pada Mei tahun lalu selain kematian Nikson dan Brown (Braun) pada September lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Filipina masih memburu seorang lagi anggota kumpulan itu iaitu Salvador @ Badong Muktadil.

Sumber perisikan memaklumkan, Badong ditemukan mati dengan kesan luka tembakan di sebuah bot berdekatan lokasi Nikson dan Braou dibunuh di Jolo pada september lalu.

Namun kematiannya tidak dapat disahkan.

Khadafy merupakan seorang daripada individu yang dinamakan pihak berkuasa Malaysia, telah ditahan pada November tahun lepas dan kini ditahan di penjara Zamboanga Del Norte.

Awal bulan ini, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menyiarkan senarai 23 rakyat Filipina yang dikehendaki atas jenayah penculikan di kawasan perairan Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bersetuju untuk menjalankan kerjasama dengan lebih mendalam bagi mengekang insiden penculikan di kawasan perairan Sulu-Sulawesi ketika mereka mengadakan peretmuan di Kuala Lumpur awal bulan ini.

"Pihak berkuasa Filipina mengalu-alukan sebarang maklumat daripada kerajaan Malaysia untuk menahan individu yang dikehendaki ini," jelas kenyataan kedutaan itu.

Malaysia, Filipina, Esscom, Abu Sayyaf

Artikel Sebelum

Jamal Dendang Lagu Ejek Bersih 5

Artikel Berikut

Umno Mohon Maaf Kepada Media

Artikel Lain