suria

Sarawak Cadang RM8.134 Bilion Untuk Bajet 2017

KUCHING: Sarawak mengusulkan sejumlah RM8.134 bilion bagi Bajet 2017.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata daripada jumlah itu RM5.928 bilion atau 73 peratus dicadangkan untuk pembangunan manakala bakinya RM2.206 bilion atau 27 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan enakmen perbekalan negeri(2017), 2016 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

"Sebagai negeri yang membangun, adalah penting bagi kita untuk mempunyai bajet yang mengarah kepada pembangunan dan fokus terhadap kawasan luar bandar," katanya.

Bagi memastikan objektif berterusan ke arah merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar seluruh negeri, lebih daripada 50 peratus peruntukan bajet tahun hadapan adalah untuk luar bandar iaitu kira-kira RM2.982 bilion, jelas beliau.

Adenan yang juga Menteri Kewangan negeri berkata peruntukan kali ini lebih tinggi berbanding RM2.354 bilion pada 2015 dan RM2.65 bilion pada 2016.

"Ini juga sejajar dengan komitmen kami untuk memberi lebih fokus kepada pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar bagi mempercepatkan transformasi pembangunan luar bandar.

"Usaha sebegini akan membuka lebih peluang kepada pembangunan yang akan memberi faedah untuk komuniti luar bandar," kata Adenan.

Beliau berkata Bajet negeri 2017 juga menumpukan perhatian khusus kepada "Transformasi Sarawak : Maju ke Hadapan".

Beliau berkata tiga jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan bagi memacu transformasi telah mengenal pasti tiga bidang utama untuk dilaksanakan.

"Untuk kesemua inisiatif ini, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM817 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM20 juta bagi perbelanjaan operasi," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi 2017, hasil negeri dianggarkan mencapai RM5.321 bilion.

"Cukai hasil sahaja dijangka mencecah RM1.25 bilion.

"Antara lain, RM539 juta daripada hasil royalti dan premium perhutanan dan RM440 juta daripada cukai jualan di mana RM320 juta dijangka daripada hasil minyak sawit mentah dan minyak isirung kelapa sawit dan RM120 juta hasil loteri," katanya.

Bagi hasil bukan cukai, Adenan berkata ia dianggarkan RM3.9 bilion yang sebahagian besarnya, RM1.577 bilion adalah pampasan tunai bagi hak minyak dan gas.

Pendapatan bukan hasil dijangka RM21 juta daripada ganti rugi hutan dan pelupusan aset, katanya.

"Geran persekutuan dan pembayaran balik dijangka mencapai RM150 juta," jelas beliau.

Artikel Lain