suria

RM1.9 Bilion Subsidi, Insentif Untuk 155,000 Pesawah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan sebanyak RM1.9 bilion sebagai subsidi dan insentif kepada 155,000 pesawah padi seluruh negara pada 2016.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah tersebut merangkumi pelaksanaan Skim Baja Padi Kerajaan berjumlah RM465 juta, Skim Bantuan Input Pengeluaran (RM563 juta), Insentif Benih Padi Sah (RM85 juta), Skim Subsidi Harga Padi (RM616 juta), Skim Baja dan Racun Padi untuk Pertanian Padi Bukit (RM70 juta) dan Insentif Input Pengeluaran Padi RM112 juta.

"Selain itu kerajaan juga telah belanjakan RM65.5 juta pada tahun 2016 untuk pelaksanaan 18 projek pertanian antaranya projek peningkatan hasil sayuran dan projek tanaman semula buah-buahan terpilih," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) mengenai jumlah subsidi yang diperuntukkan kepada sektor pertanian sejak awal tahun ini untuk membantu petani tempatan dan jumlah petani yang telah memanfaatkan bantuan berkenaan.

Selain itu, kementerian itu juga sedang dalam usaha mendapatkan peruntukan untuk diagihkan kepada 1,855 petani yang terjejas ekoran fenomena El Nino baru-baru ini iaitu bantuan sebanyak RM250 setiap seorang.

Artikel Lain