suria

Sarawak Tidak Seharusnya Ketinggalan - Adenan

Adenan Satem.

KUCHING: Tan Sri Adenan Satem berkata, amat penting bagi Kerajaan Persekutuan memberikan lebih banyak dana kepada Sarawak untuk projek infrastruktur dan kemudahan asas yang diperlukan negeri itu.

Ketua Menteri berkata, peruntukan untuk negeri di bawah Bajet 2017 "hampir tidak mencukupi", memandangkan kawasan yang luas di Sarawak dan jurang pembangunan yang besar antara negeri itu dan Semenanjung.

"Ia tidak mencukupi. Negeri ini amat memerlukan bantuan Persekutuan dalam memberikan lebih peruntukan tahunan, bagi membolehkan kita mengejar pembangunan di Semenanjung dan mengecilkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya semasa membentangkan bajet negeri pada Isnin.

Adenan berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur di Sarawak, agar setanding dengan Semenanjung.

"Sarawak tidak seharusnya ketinggalan. Kita juga mahu kemudahan asas yang sama sebagaimana yang dinikmati di Semenanjung," katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri akan terus meminta lebih peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan.

Beliau turut memberitahu bahawa negeri tidak melaksanakan pelan transformasi luar bandarnya sendiri tetapi memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan seperti sekolah, klinik, hospital, jalan, jambatan dan sumber air dan elektrik.

"Program pembangunan seumpama ini akan memerlukan pelaburan besar dan usaha bersepadu daripada kerajaan negeri dan Persekutuan," tambahnya.


Artikel Sebelum

Anak Tumbuk Bapa Ditahan

Artikel Lain