suria

Lima Maut, Dua Kereta Bertembung Di Kota Tinggi

JOHOR BARU: Tiga beranak antara lima yang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM77 Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi, dekat sini Jumaat petang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superitendan Rahmat Othman berkata, kemalangan  kira-kira 3.45 petang itu membabitkan kenderaan jenis Perodua Alza yang menghala ke Mersing dari Kota Tinggi manakala Proton Saga FLX dari Terengganu ke Bandar Penawar, Kota Tinggi.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kenderaan Perodua Alza itu memotong di garisan putih berkembar dan bertembung dengan kereta Proton Saga berkenaan," katanya ketika dihubungi, Sabtu.

Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu Siti Nurullfarhah Md Shafi'i, 20; bersama ayah dan ibunya - Md Shafi'i Kassim, 56; dan Asnah Kassim, 54; serta seorang penumpang kereta Proton Saga - Nora Atiqah Sazumi, 13, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.

Ayah Nora, Sazumi Yahya, 55, pula meninggal dunia kerana kecederaan kepala di Hospital Kota Tinggi sewaktu mendapatkan rawatan manakala ibunya Yusniza Yusof, 45, serta kakaknya Nora Alina, 19, cedera dan masih dirawat di hospital sama.

Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kenderaan Alza dan Proton Saga remuk teruk di bahagian hadapan.

Kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-- Bernama


Kota Tinggi, Perodua Alza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain