suria

Culik Bayi: Tindakan Tegas Kepada Hospital Jika Berlaku Kecuaian

Dr S. Subramaniam.

PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan akan mengenakan tindakan tegas terhadap pengarah dan pegawai Hospital Tanah Merah, Kelantan sekiranya berlaku kecuaian yang menyebabkan seorang bayi perempuan diculik semasa dalam jagaan mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata siasatan terperinci masih dijalankan termasuk mengenal pasti kelemahan yang timbul walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) telah ditetapkan.

"Pihak kementerian akan memperketatkan lagi SOP membawa pulang bayi dari wad dalam usaha memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

"Sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan ini menunjukkan kelemahan dalam sistem di mana ia sudah berlaku tanpa disyaki oleh pegawai keselamatan dan pegawai kejururawatan yang bertugas," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Kepimpinan Wanita dan Jentera Pilihanraya (Wanita MIC) di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan pengarah Hospital Tanah Merah untuk melihat dan mengenal pasti kelemahan yang ada dan memastikan segala langkah keselamatan telah dipatuhi.

"Kita akan siasat dan jika dapat dipastikan ada kecuaian di peringkat mereka, tindakan akan diambil.

"Bagaimana orang luar boleh masuk, ambil bayi dan pergi. Ini satu perkara yang kita perlu lihat secara keras dan pastikan ia tidak berlaku lagi," katanya.

Dalam kejadian Selasa lepas itu, bapa kepada bayi perempuan yang berusia lima hari itu, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, menyedari mengenai kehilangan bayinya pada jam 9 malam selepas dia datang ke hospital untuk melihat anak keduanya itu yang lahir pada Khamis lalu.

Susulan laporannya kepada pihak polis, polis telah menahan sepasang suami isteri yang berusia lingkungan 30-an tengah malam Khamis di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh, Kelantan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain