suria

UPSR: Ibu Bapa Boleh Mohon Semak Semula

PUTRAJAYA: Ibu bapa yang tidak puas hati dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak mereka boleh mengemukakan permohonan bagi membuat semakan semula.

Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Nawal Salleh berkata, pihaknya telah menerima permohonan semakan semula sejak hari pertama keputusan UPSR diumumkan.

"Kita telah terima tak kurang dari 20 permohonan semakan keputusan selepas keputusan dikeluarkan semalam.

"Permohonan untuk semakan semula ini boleh dibuat dalam tempoh 30 hari selepas keputusan diumumkan," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas bagi memberikan penjelasan terperinci tentang keputusan UPSR yang diumumkan Khamis.

Menurut Nawal, ibu bapa yang ingin berbuat demikian boleh berkunjung terus ke kaunter Lembaga Peperiksaan atau menghantar borang permohonan melalui pos.

"Borang untuk semak semula ada di sekolah-sekolah dan ibu bapa boleh mengambilnya di sana," katanya.

Mengenai bayaran RM50 yang dikenakan untuk setiap subjek yang ingin disemak semula, Nawal berkata, wang itu akan digunakan untuk beberapa proses yang disifatkan sebagai agak rumit.

"Semak semula bukan dilaksanakan setiap calon, hanya mereka yang tidak puas hati sahaja melakukannya.

"Bila buat semak semula ada banyak proses kerja seperti membuka semula maklumat pelajar, melantik semula pemeriksa dan sebagainya di mana prosesnya agak rumit sebelum keputusan dapat dikeluarkan," katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof pada Khamis mengumumkan seramai 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam UPSR 2016.

Susulan pengumuman itu, timbul kontroversi dan rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian ibu bapa terhadap format baharu UPSR di mana kaedah peperiksaan tahun ini lebih menjurus kepada pendekatan kreativiti dan aras pemikiran tinggi berbanding tahun sebelum ini yang memfokuskan kepada soalan aneka pilihan.


Lembaga Peperiksaan, UPSR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain