suria

Keputusan UPSR 2016 Capai Standard Kokurikulum Kebangsaan - Mahdzir

MAHDZIR Khalid (baju putih) bergambar bersama pelajar dan guru SK Bukit Rahman Putra pada 17 Novmeber 2016 selepas pengumuman keputusan UPSR.

SUNGAI BULOH: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu mencapai standard kokurikulum kebangsaan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, calon peperiksaan UPSR tahun ini merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu, keputusan UPSR tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian tahun lalu.

"Setakat ini, ia menepati standard yang telah ditetapkan oleh kokurikulum kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahman Putra di sini, Khamis.

Turut hadir, Guru Besar SK Bukit Rahman Putra, Aminah Said.

Seramai 225 murid SK Bukit Rahman Putra mendapat keputusan lulus seratus peratus, dan daripada jumlah itu, 11 murid menerima keputusan cemerlang dengan semua Gred A atau 6A.

UPSR 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Jumlah pencapaian cemerlang itu adalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.

Selain itu seramai 8,345 calon atau 1.89 peratus memperoleh keputusan maksimum 1B; 35,752 calon atau 8.11 peratus memperoleh minimum 2B; 91,366 calon atau 20.73 peratus (minimum 1C).

Seramai 152,825 calon atau 34.67 peratus (minimum 1D), 137,262 calon atau 31.14 peratus (minimum 1E) manakala 9,519 calon atau 2.16 peratus mendapat semua E.

Gred Purata Nasional ialah 2.96.

UPSR, Kokurikulum, Bukit Rahman Putra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain