suria

Johor Buktikan Pengurusan Kewangan Berhemah Tiga Tahun Berturut-Turut

Mohamed Khaled Nordin.

KOTA ISKANDAR: Pengurusan kewangan yang berhemah dan pengagihan hasil kepada rakyat di segenap peringkat merupakan antara teras membolehkan Johor terus mencatatkan rekod cemerlang dalam belanjawannya selama tiga tahun berturut-turut.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedudukan fiskal yang kukuh serta kekal berdaya saing itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor yang sihat.

"Johor menjadi penyumbang ke empat terbesar KDNK negara, merekodkan pertumbuhan terkumpul bagi tahun 2014 dan 2015, sebanyak 8.5 peratus.

"Pertumbuhan itu melebihi rekod nasional sebanyak 6.0 peratus, berbanding pencapaian Johor pada kadar 6.5 peratus bagi tahun 2014 dan 5.0 peratus berbanding 5.6 peratus tahun berikutnya," katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran sorotan rumusan pencapaian Bajet Johor 2014-2016 di sini, Selasa.

Pencapaian itu membolehkan Johor berada di tempat keempat di belakang Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak dari aspek pertumbuhan KDNK tahunan.

Johor juga turut menokok jumlah pelaburan dalam sektor pembuatannya dengan mencatatkan RM31.1 bilion pada 2015, berbanding RM21.1 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya.

Menurut Mohamed Khaled, bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak RM5.4 bilion jumlah pelaburan telah diperolehi.

"Prestasi memberangsangkan itu adalah hasil asas-asas ekonomi yang kukuh serta polisi mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri.

"Ia turut dibantu faktor kadar pengganguran yang rendah pada kadar 3.1 peratus serta kerancakan koridor-koridor ekonomi dan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang," tambahnya lagi.

Beliau berkata, selain memberi perhatian kepada aspek pembangunan dan kemajuan fizikal, perbelanjaan bajet negeri itu akan turut ditumpukan kepada perkara-perkara asas yang dekat dengan hati rakyat.

Ini termasuk meneruskan agenda-agenda ekonomi yang bersifat inklusif serta berteraskan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menggariskan 11 usaha utama yang telah dan akan terus dilaksanakan kerajaan negeri.

Ia termasuk agenda meringankan beban rakyat dalam menangani kos sara hidup, penyediaan rumah mampu milik, kemudahan infrastruktur, pembangunan usahawan, penambahbaikan prasarana pendidikan Islam, pengwujudan peluang-peluang pekerjaan baharu serta akses jalur lebar yang lebih meluas.

Mohamed Khaled berkata sepanjang tiga tahun ini, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan beberapa pemboleh (enabler) bagi memastikan matlamat pembangunan jangka panjangnya tercapai.

Antaranya, membabitkan pengenalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada setiap pengerusi jawatankuasa negeri, memantapkan operasi Pengangkutan Awam Johor (PAJ), mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kawasan Pengerang, persempadanan semula empat buah PBT dan mengukuhkan pentadbiran majlis dan jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Sementara itu, naskhah Muafakat Ke Arah #Johor Berkemajuan setebal 38 muka surat itu diterbitkan dalam bentuk ringkasan kreatif serta dilengkapi maklumat penting pelaksanaan Bajet Johor sepanjang 2014-2016.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain