suria

Kes Berjalan Tanpa Kehadiran Bapa Mualaf

M. Indira Gandhi.

PUTRAJAYA: Seorang bapa mualaf gagal hadir dengan anak bongsunya di Mahkamah Persekutuan pada Selasa untuk mendengar kes rayuan bekas isterinya terhadap kesahihan penukaran agama tiga anaknya secara unilateral oleh bekas suaminya itu.

Pada Isnin, mahkamah memberi peluang kepada Muhammad Riduan Abdullah, 46, supaya hadir di mahkamah bagi membatalkan dakwaan penghinaan terhadapnya.

Muhammad Riduan, sebelumnya dikenali K. Pathmanathan, didapati mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Ipoh supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya berusia lapan tahun kepada bekas isterinya bergama Hindu, M. Indira Gandhi.

Bagaimanapun, panel lima hakim meneruskan prosiding kes rayuan Indira, seorang guru tadika berusia 41 tahun, tanpa kehadiran Muhammad Riduan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel hakim, membenarkan peguam Hatim Musa mewakili Muhammad Riduan dan berhujah dalam rayuan tanpa bantahan daripada barisan peguam Indira.

Dalam prosiding itu, K. Shanmuga, salah seorang peguam Indira, mencadangkan kepada mahakamah supaya meneruskan kes rayuan tersebut kerana Muhammad Riduan hanya merupakan responden nominal.

Hatim, dalam pada itu, memberitahu mahkamah bahawa beliau cuba mengesan anak guamnya tetapi tidak berjaya.

Peguam bersama Indira, Fahri Azzat berkata kedua-dua bapa dan ibu perlu bersetuju dengan penukaran agama seorang kanak-kanak sebelum Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) boleh mendaftarkan perakuan memeluk Islam.

Menurutnya Mahkamah Persekutuan tidak boleh bergantung kepada prinsip keputusan terdahulu pada 2008 dalam kes R. Subashini yang memutuskan salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam.

Fahri berkata definisi istilah 'parent' (ibu bapa) di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibaca secara kebersesuaian dengan Seksyen 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) dengan takrifan 'parent' sebagai salah seorang iaitu ibu atau bapa.

Seorang lagi peguam perayu, Aston Paiva berkata niat perundangan dalam Seksyen 96 dan 106 enakmen itu adalah bagi memastikan seorang kanak-kanak daripada hasil perkahwinan bukan Islam bukan sahaja perlu mendapatkan keizinan ibu bapa tetapi kanak-kanak itu, walaupun di bawah umur 18 tahun, juga harus memenuhi syarat untuk melafazkan ungkapan dua kalimah syahadah atas kerelaan sendiri.

Katanya lafaz pengakuan agama itu mestilah difahami secara munasabah dalam bahasa Arab dan mengetahui maknanya.

"Keterangan yang tidak dipertikaikan itu di mahkamah merupakan syarat dalam Seksyen 96 (enakmen itu) yang tidak dipenuhi oleh kanak-kanak yang terlibat dalaam kes ini.

"Oleh itu, keputusan Pendaftar Muallaf adalah ultra vires dengan enakmen, sijil penukaran agama yang dikeluarkan kepada kanak-kanak itu patut dibatalkan," katanya.

Di luar mahkamah, Hatim memberitahu pemberita bahawa beliau gagal menghubungi Muhammad Riduan menerusi pihak ketiga dan percaya anak guamnya  masih berada di dalam negara.

Indira merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lepas yang mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anaknya yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Muhammad Riduan menukar agama anak-anaknya kepada Islam iaitu dua perempuan dan seorang lelaki, yang kini masing-masing berusia 19, 18 dan lapan tahun pada April 2009 tanpa pengetahuan isterinya.

Pada ketika itu, kanak-kanak itu berusia 11, 12 tahun dan 11 bulan.

Indira dan Pathamathan (Muhammad Riduan) telah mendirikan rumah tangga lebih 20 tahun lalu mengikut upacara agama Hindu sebelum bekas suaminya itu memeluk Islam pada 11 Mac 2009.

Prosiding kes rayuan disambung 5 Disember ini. - BERNAMA


bapa mualaf, M. Indira Gandhi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain