suria

Denda AES Dikurangkan RM150 - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Denda bagi kesalahan melanggar kelajuan yang dihadkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditetapkan pada kadar RM150 bagi setiap kesalahan.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berdasarkan keputusan Kabinet yang menetapkan kadar sama tersebut sebanyak dikurangkan separuh berbanding RM300 yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan kerajaan akan menghapuskan kira-kira 1.6 juta saman AES yang dikeluarkan sebelum ini sejak sistem itu beroperasi pada 2012.

"Kami tidak akan menghapuskan saman tersebut. Mereka (pesalah trafik) perlu membayarnya.

"Kini denda dikurangkan kepada RM150 dan mulai sekarang kadar yang sama akan dikenakan kepada pesalah," kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen, Selasa.

Sistem AES diintegrasikan bersama Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang menggabungkan kamera dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

Pesalah trafik yang gagal membayar saman tersebut akan disenaraihitam dan tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

Tiong Lai berkata, tiada lagi jumlah tetap kamera yang akan dipasang di bawah program Awas.

"Kami akan melaksanakan pemasangan kamera secara berperingkat berdasarkan permintaan kerajaan tempatan dan masyarakat.

"Seperti kawasan saya, penduduk boleh meminta kamera dipasang bagi mengurangkan tahap kelajuan kenderaan," katanya.

Kerajaan telah memasang 40 kamera AES di seluruh negara pada fasa pertama pelaksanaan pada 2012 dan meletakkan sasaran 90 buah kamera.

Menurut laporan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kes pelanggaran lampu merah menurun sebanyak 1.23 peratus setahun dan 2.2 peratus dalam tempoh enam bulan sejak kamera AES dipasang di lampu isyarat terpilih.

Buat masa ini, kamera AES dipasang di sekitar Lembah Klang dan Perak.


AES, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain