suria

Johor Sedia Lulus Permohonan Tanah Jika Cukup Syarat

Hasni Mohammad.

JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor tidak mempunyai masalah dalam meluluskan permohonan mana-mana agensi kerajaan pusat untuk mendapatkan tanah di negeri ini bagi tujuan pembangunan.

Bagaimanapun, kelulusan tersebut tertakluk kepada kesediaan pemohon menyediakan maklumat lengkap mengenai perancangan dan peruntukan bagi menjayakan pelaksanan projek pembangunan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri menetapkan syarat tersebut bagi mengelak projek pembangunan tertangguh, sekali gus gagal memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa mengulas kekecewaan Felcra yang sehingga kini gagal mendapatkan tanah di Johor bagi tujuan pembangunan.

Terdahulu, Hasni merasmikan sambutan 50 tahun (Jubli Emas) Felcra Berhad peringkat Johor di sini Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, yang hadir dalam majlis itu, berkata pihaknya memerlukan tanah tersebut untuk membangunkan rumah peneroka generasi kedua.

"Kita sebenarnya tidak memohon banyak dan permohonan adalah selaras dengan perjanjian antara kerajaan negeri dan Felcra sendiri dan ia juga dipohon demi membangunkan rumah generasi kedua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain