suria

Warga Emas Mahu Terus 'Berumah' Di Bawah Jambatan

PASIR PUTEH: Seorang warga emas memutuskan untuk meneruskan kehidupannya di bawah jambatan di sini walaupun mendapat bantuan dan galakan untuk mendapatkan kehidupan lebih selesa.

Abdullah Mat Jusoh, 82, telah menetap di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian di sini sejak tiga tahun yang lalu.

"Saya amat gembira di sini dan saya tak perlukan apa-apa. Isteri saya meninggal dunia tiga tahun lalu dan dua anak saya juga telah meninggal dunia. Saya percaya saya telah ditakdirkan untuk bersendirian dan saya menerimanya dengan rela hati.

"Sebab utama saya tinggal di sini kerana saya tak mahu mengganggu sesiapa. Keperluan saya kecil," kata Abdullah yang mesra dikenali penduduk tempatan sebagai Pak Lah.


Penduduk tempatan di sini telah bermurah hati menghantar makanan kepada Pak Lah setiap hari.

Beliau mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pak Lah berkata, beliau tidak akan berganjak dari 'rumah'nya, tidak kiralah bagaimana penduduk tempatan dan luar menunjukkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap dirinya.

Beliau berkata, jika ada yang ingin membantu membina rumah untuknya, beliau hanya akan bersetuju jika ia dibina berhampiran dengan jambatan tersebut.

Katanya, sebelum tinggal di bawah jambatan itu, beliau telah tinggal bersama rakan-rakan yang sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

"Sejak saya jatuh sakit, saya mengambil keputusan untuk berpindah di bawah jambatan ini supaya saya tidak memberi masalah kepada mereka," katanya.

Tahap kesihatan Pak Lah telah menurun sejak kebelakangan ini, tetapi beliau bernasib baik, apabila pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang dikenali sebagai 3rd Force telah datang untuk membantu beliau.

Salah seorang daripada pakar motivasi dari organisasi itu, Raja Shamrin Raja Hussein, yang melawat Pak Lah berkata mereka telah mengumpul dana mencukupi untuk membina rumah untuknya.

"Satu-satunya masalah kami adalah tidak ada jaminan bahawa Pak Lah akan berpindah ke rumah barunya.

"Kami masih cuba untuk meyakinkannya bahawa beliau tidak patut hidup di bawah jambatan," katanya.

Artikel Lain