suria

Tiga Termasuk Dua Pelajar Sekolah Maut Dalam Kemalangan

Gambar hiasan.

MELAKA: Tiga maut termasuk dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Talib Karim, Alor Gajah dekat sini dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Padang Sebang di sini, petang Khamis.

Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 6.20 petang itu adalah pemandu kereta Proton Saga iaitu Herman Md Johan, 22, dan dua penumpang Muhammad Haziq Norhesyam, 15, serta Nur Syarifah Azura Ramzi, 14.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka Pemangku Supt Mohd Sham Abdullah, berkata tiga mangsa cedera iaitu penumpang Proton Saga iaitu Muhammad Daniel Jamaluddin, 15, juga pelajar SMK Dato' Haji Talib Karim; pemandu Perodua Axia Tan Chee Song, 29, dan pemandu Proton Exora Zainaf Hussin, 34.

"Pemandu Proton Wira Norsuhaila Sulaiman, 26, tidak mengalami kecederaan. Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu Herman dari arah Tampin ke Alor Gajah manakala tiga lagi kenderaan iaitu Perodua Axia, Proton Exora dan Proton Wira pula dari arah bertentangan.

"Kereta Proton Saga berkenaan dipercayai hilang kawalan ekoran dipandu laju dalam keadaan jalan licin sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar secara hadapan dengan kereta Perodua Axia dipandu Tan," katanya.

Beliau berkata kereta Proton Exora dipandu Zainaf pula tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan kereta Perodua Axia terbabit manakala Proton Wira dipandu Norsuhaila sempat mengelak Proton Exora namun berlanggar dengan Proton Saga itu.

Katanya Herman dan Nur Syarifah Azura maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala Muhammad Haziq meninggal dunia di Hospital Tampin ketika mendapatkan rawatan.

Mohd Sham berkata tiga mangsa yang cedera turut dikejarkan ke Hospital Tampin bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

kemalangan maut, pelajar sekolah

Artikel Sebelum

Maria Chin Diancam Bunuh Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain