suria

Cederakan Remaja, Pemuda Didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda didenda RM2,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis kerana mencederakan seorang pelajar berusia 16 tahun menggunakan sebilah pisau.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Harrith Razali, 32, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan remaja lelaki itu di Pangsapuri Anggerik, Taman Bukit Permai 2, Jalan 1/2H, Bukit Teratai, Ampang Jaya, di sini, pada 8.30 malam, 4 November lepas.

Tertuduh yang menjalankan perniagaan pelaburan mata wang asing (Forex trading) didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Nazri Yahya merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum dengan alasan tertuduh telah insaf dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa. - BERNAMA

hukuman penjara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain