suria

Lelaki 49 Tahun Mangsa Kerat Di Tangkak

TANGKAK: Mangsa pembunuhan kejam, yang badannya dikerat kepada beberapa bahagian di Kampung Kesang Laut di sini Ahad lepas, merupakan seorang lelaki berusia 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata, Omar Miskam yang berasal dari Panchor, Muar, sudah beristeri dan bekerja sebagai pemandu jengkaut di sekitar Kesang Laut.

"Kita percaya mangsa terlebih dahulu ditetak pada bahagian kepalanya sebelum badannya dikerat.

"Hasil daripada bedah siasat juga mendapati mangsa dikerat lebih sepuluh bahagian termasuk kepala, kedua-dua kaki dan tangan, abdomen dan beberapa anggota badan lain," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata polis turut menahan dua lagi suspek iaitu seorang wanita berusia 56 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun, dengan mereka direman selama seminggu sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan.

Ahad lepas, polis menemukan lima bungkusan plastik hitam berisi keratan anggota badan manusia yang disorok dalam longkang di Kampung Kesang Laut, dengan bahagian kepalanya ditemui tidak jauh daripada lokasi itu.

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis kira-kira sejam selepas penemuan itu.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Tangkak mengarahkan remaja itu, yang juga orang kurang upaya yang mengalami masalah ketidakupayaan pembelajaran, ditahan reman sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain