suria

Bajet 2017: Kaji Semula Pemotongan RM35 Juta Dana SPRM

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan semula pemotongan dana sebanyak RM35 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pembentangan Bajet 2017, bulan lalu.

Tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan usaha membanteras gejala rasuah di negara ini tampil mengulangi saranan itu pada Rabu.

Pihak terlibat adalah Yayasan Pencegahan Rasuah Malaysia (YPRM), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Transparency International Malaysia (TI-M).

Presiden TI-M, Datuk Akbar Satar berpendapat, usaha memperkukuhkan SPRM perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk kerajaan dengan mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM supaya segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur.

"Berdasarkan kajian terkini Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), mana-mana agensi akan kehilangan lima peratus daripada peruntukan yang diberikan akibat ketirisan atau rasuah.

"Oleh yang demikian, kerajaan harus melihat usaha memperkukuhkan SPRM dengan menambah peruntukan kewangan sebenarnya merupakan langkah menguntungkan kerana ia dapat mengurangkan kemungkinan berlaku kerugian jutaan ringgit akibat ketirisan dan rasuah," katanya menerusi kenyataan.

Ketika membentangkan Bajet 2017, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan bagi badan pencegahan rasuah berkenaan adalah sebanyak RM216 juta, berbanding dana tahun lalu sebanyak RM251 juta iaitu kurang RM35 juta.

Sementara itu, Presiden YARM, Datuk Seri Zakaria Jaffar pula berkata, pemotongan peruntukan itu dikhuatiri akan menjejaskan imej dan perancangan operasi pencegahan SPRM.

"Gesaan supaya keputusan itu dikaji semula juga bagi tidak menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, YARM yakin kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah berdasarkan pelbagai inisiatif yang diwujudkan bagi mencapai matlamat negara bersih tanpa rasuah.

Selain itu, gesaan sama turut dinyatakan LPPR menerusi kenyataan bagi menyokong usaha Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran dan peringatan kepada seluruh rakyat negara ini menerusi Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia sempena 100 hari perkhidmatannya menerajui suruhanjaya itu.




 


 


SPRM, Bajet 2017, TI-M

Artikel Berikut

Artikel Lain