suria

Macau Scam: Polis Tahan 43 Warga China

PETALING JAYA: Polis berjaya menahan 43 warga China dalam serbuan di Bukit Kiara dan Taman OUG, yang dipercayai menjadi dalang di sebalik sindiket Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan pada Selasa bermula pukul 1 petang, di sebuah pangsapuri di Bukit Kiara dan sebuah rumah di Taman OUG.

"Seramai 37 lelaki dan enam wanita warga China, manakala seorang rakyat tempatan menghantar makanan kepada suspek turut ditahan," katanya.

Acryl Sani berkata serbuan tersebut dilakukan selepas polis Malaysia menerima maklumat daripada rakan sejawat di China.

Tambahnya, kegiatan itu bermula apabila kesemua mangsa di China dimaklumkan bahawa mereka berhutang atas pembelian produk atau servis di pasaraya.

“Mangsa akan menerima panggilan daripada wakil pasar raya yang menjelaskan bahawa, tiada sebarang bayaran diterima atas pembelian produk atau servis itu.

“Selain itu, mangsa juga akan dituduh menggunakan identiti palsu atau membuat bayaran menggunakan kad kredit palsu.

“Pihak terlibat mengugut untuk melaporkan tindakan mangsa kepada pihak polis, bank atau mahkamah,” katanya.

Tambahnya, mereka juga akan mengugut mangsa untuk membekukan akaun bank kerana memiliki wang haram.

“Setakat ini, warga tempatan tidak begitu ramai menjadi mangsa scam ini.

“Kami juga telah memaklumkan rakan sejawat kami di China berkenaan penangkapan terhadap mereka,” kata Acryl Sani.

 
 

Artikel Lain