suria

Presiden Filipina Lawat Malaysia Mulai Hari Ini

PUTRAJAYA: Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte,  akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Rabu.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Republik Filipina mulai 30 Jun 2016.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu-isu dua hala serta mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Republik Filipina.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa demi manfaat bersama.

Presiden Duterte juga akan diraikan oleh Perdana Menteri dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor di dalam majlis makan malam rasmi.

Hubungan dua hala Malaysia dan Republik Filipina adalah baik dan mesra.

Kedua-dua negara bekerjasama dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama di peringkat antarabangsa. 

Jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara daripada bulan Januari sehingga Ogos 2016 telah meningkat sebanyak 5.4% kepada RM13.5 billion (AS$3.22 billion), berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015 sebanyak RM12.48 billion (AS$3.36 billion). 

Republik Filipina merupakan rakan dagangan Malaysia ke-5 terbesar di kalangan negara-negara Asean dan ke-10 terbesar di peringkat global, pada tahun 2015.

Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin menerokai usaha ke arah mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada.

Rodrigo Duterte, Filipina, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain