suria

Polis Pantau Guru Dikaitkan Dengan IS - Pakar

Ahmad El-Muhammady.

KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau guru-guru, termasuk mereka di sekolah agama, berhubung tanda-tanda dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

Menurut pakar mengenai keganasan, Ahmad El-Muhammady, ia adalah perlu berikutan guru-guru boleh mempengaruhi dan membentuk minda pelajar mereka.

"Anda boleh lihat sesetengah pelajar di sini di Malaysia sanggup melakukan apa sahaja untuk guru-guru mereka, dan sesetengah guru boleh menggunakan keadaan ini bagi mendedahkan pelajar mereka terhadap perkara yang tidak baik," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sentiasa mengadakan rundingan bersama polis dalam memerangi ekstremisme.

Beliau berkata, polis sedang memantau secara dekat guru-guru agama dan penceramah di masjid dan surat di atas tujuan sama.

"Lihat Madrasah Nurul Hidayah, sebuah sekolah agama berasrama di Kedah yang ditubuhkan oleh Ustaz Mohd Lotfi Arifin, yang menyertai IS di Syria dan terbunuh pada 2014.

"Para pelajar di sana masih mengagumi dan mahu mencontohi beliau," katanya pada sidang media selepas memberikan ceramah berkaitan IS di Wisma Perwira di sini, Selasa.

Beliau berkata, sekolah yang dipenuhi dengan bakal pengganas merupakan satu gambaran yang menakutkan, tetapi memberi jaminan bahawa polis mengambil langkah bersedia terhadap sebarang kemungkinan ancaman di negara ini.

"Adalah juga tidak tepat untuk merujuk kepada sekolah-sekolah agama kerana belia hari ini berdepan dengan semua risiko daripada bahan IS yang mudah ditemui di media sosial.

"Dari 2013 hingga 2015, 80 peratus individu dikaitkan dengan IS yang ditahan di Malaysia adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun, dan mereka direkrut secara dalam talian," katanya.

Ahmad mencadangkan supaya pasukan keselamatan siber ditubuhkan di negara ini bagi memantau Internet terhadap kemungkinan serangan dan ancaman.

"Kita mempunyai pasukan bersenjata dan polis bagi menjaga keselamatan dari ancaman fizikal tetapi kita masih terdedah kepada serangan dari dunia siber.

"Kita boleh mengikut contoh yang dibuat Amerika Syarikat dan Jerman, dengan menubuhkan pasukan siber bagi memerangi serangan keganasan secara dalam talian," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain