suria

Kanak-Kanak Perempuan Maut Terjatuh Dari Koridor Flat

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut setelah tergelincir daripada tingkat atas flat empat tingkat yang didiami keluarganya di Kulai, dekat sini, Isnin.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Loh Xiao Rou yang merupakan murid tahun dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kulai 1 telah keluar dari rumah tanpa pengetahuan bapanya yang ketika itu sedang membaiki siling rumah.

Sebelum itu, bapanya difahamkan telah mengingatkan mangsa agar hanya duduk di rumah dan mengambil makanan tengah harinya.

Namun perkara sebaliknya pula berlaku dan mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik, dikatakan telah tergelincir daripada pagar koridor yang rosak apabila bapanya menyedari ketiadaannya.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Razak Md Said yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

Laporan bedah siasat itu menyebut kematian mangsa disebabkan kecederaan teruk di kepala dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain