suria

Ahli Parlimen Berhak Berucap - Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kesal dengan tindakan Bukit Aman memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan 1MDB di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata proses soal siasat itu tidak sepatutnya berlaku di kalangan Ahli Parlimen yang berhak untuk berucap di Dewan Rakyat.

"Saya beranggapan ini proses intimidasi terhadap Ahli Parlimen yang sepatutnya berhak berucap di parlimen termaktub dalam Perlembagaan Artikel 63 (2).

"Saya kesal sepatutnya ini proses yang ditiadakan untuk ahli parlimen sehingga disoal siasat oleh pihak berkuasa mengenai perbahasan di peringkat parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan mengenai kenyataannya berkaitan 1MDB di Bukit Aman selama sejam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, semasa proses soal siasat itu beliau mempertahankan beberapa kenyataan yang dibuat di Parlimen.

"Itu hak saya. Saya tak salahkan pegawai (yang menyoal siasat) kerana itu tanggungjawab dia," katanya.

Shafie berkata, dia memberi keterangan di hadapan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP).

Tegasnya, beliau tahu hak dan batasan seorang Ahli Parlimen ketika membahasakan sesuatu isu terutamanya apabila membabitkan kepentingan rakyat.

"Kami tahu apa itu hasutan atau tak. Namun kami tidak dibenarkan untuk berbahas mengenai isu kepentingan rakyat," katanya.

Terdahulu, bekas naib presiden Umno itu tiba di pekarangan Bukit Aman pada pukul 9.53 pagi.

Turut hadir memberi sokongan kepada Shafie adalah bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa pemimpin pembangkang, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Lim Lip Eng (Ahli Parlimen Segambut) dan Teo Kok Seong (Ahli Parlimen Rasah).

Shafie Apdal, 1MDB, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain