suria

APPM Tahan Dua Lelaki Warga Asing Disyaki Ceroboh Batuan Tengah

Ahmad Puzi menunjukkan Pos APMM Batuan Tengah di mana dua lelaki warga asing ditahan APMM kerana disyaki menceroboh kawasan perairan di bawah pos APMM Batuan Tengah di Selat Singapura pada 8.30 malam 29 Oktober lepas (Sabtu) semasa sidang media di ibu pejabat APMM pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Dua lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki menceroboh kawasan perairan di bawah pos APMM Batuan Tengah di Selat Singapura pada 29 Oktober lepas.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, suspek seorang warga Jerman, Bjoern Cochlovius, 49, dan warga Singapura Anjashasmara Mohd Khalid, 29, ditahan kira-kira 8.30 malam, ketika melakukan aktiviti menyelam di kawasan itu.

Berdasarkan keterangan awal suspek, mereka melakukan aktiviti selaman rekreasi di Tubir Selatan di Selat Singapura, iaitu 1.5 batu nautika dari Batuan Tengah bermula 1.15 petang Sabtu (29 Oktober) sebelum dihanyutkan arus, katanya. 

"Mengikut rakaman percakapan, warga Singapura tersebut adalah seorang jurulatih selaman dengan sebuah syarikat di Pulau Bintan, Indonesia dan warga Jerman adalah seorang doktor.

"Kita masih dalam usaha mendapatkan maklumat peribadi mereka daripada pihak kedutaan dan syarikat terbabit bagi memastikan tiada ancaman memandangkan ini adalah kawasan sensitif," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Pada Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan Batu Putih menjadi milik Singapura, sementara Batuan Tengah yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Batu Putih adalah milik Malaysia.

Ahmad Puzi berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di Pejabat Daerah Maritim 7 di Tanjung Sedili, Johor untuk siasatan lanjut.

Ditanya sama ada aktiviti menyelam pada waktu malam adalah normal di kawasan itu, beliau berkata ia agak berbahaya kerana kawasan terbabit laluan kapal yang sibuk.

"Aktiviti menyelam pada waktu malam di sesetengah tempat perkara biasa, tetapi kawasan itu agak sibuk dengan kapal jadi kita perlu siasat secara rapi untuk pastikan tiada ancaman kepada negara," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, ketika ditahan kedua-dua suspek hanya menggunakan peralatan selaman biasa dan tiada sebarang peralatan lain ditemui.

Menurut Ahmad Puzi, mereka boleh disiasat di bawah empat undang-undang. Ia adalah Seksyen 441/447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah; Seksyen 6(3) Akta Imigresen; Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Malaysia (MSO 1952) kerana melakukan aktiviti selaman rekreasi tanpa kebenaran Pengarah Laut; atau Seksyen 491B(1)(L) MSO1952 dibaca bersama NTM5/14 kerana melakukan operasi bawah laut tanpa kebenaran Pengarah Laut.

APMM

Artikel Lain