suria

Teknologi Rawatan Air Penyelesaian Terbaik Elak Pencemaran - Pakar

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi rawatan air termaju dilihat mampu menyelesaikan masalah jangka panjang dalam menangani isu pencemaran air mentah seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Pakar kualiti air dan permodelan, Dr Zaki Zainuddin berkata teknologi yang telah diguna pakai oleh Singapura itu terbukti mempunyai kualiti tapisan dan rawatan air mentah lebih berkesan berbanding kaedah rawatan konvensional yang digunakan di negara ini.

Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan berupaya membekalkan kualiti air lebih baik kepada pemilik akaun sekali gus dapat mengelak berulangnya kejadian gangguan bekalan air sementara susulan penutupan Loji Rawatan Air(LRA).

"Kaedah yang digunakan bukanlah ketinggalan zaman, malah negara maju seperti Amerika Syarikat masih menggunakan teknologi sama namun aspek kawalan kawasan lembangan sungai di sana lebih baik berbanding Malaysia seterusnya mengurangkan risiko pencemaran dan pelepasan sisa industri terhadap sumber air.

"Bagaimanapun, kos untuk menggunakan teknologi rawatan air termaju ini agak tinggi dan pastinya memiliki implikasi tersendiri seperti kenaikan tarif air bagi menampung perbelanjaan yang dikeluarkan untuk tujuan itu," katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penutupan kali keempat LRA Sungai Semenyih, Selangor dalam tempoh dua bulan susulan pencemaran air sungai yang berbau, disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Kawasan itu pernah ditutup pada 22 dan 23 September serta terbaru pada 4 Oktober lalu akibat pencemaran sehingga menyebabkan ganguan bekalan air di sekitar daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.

Isu pencemaran juga membawa kepada penutupan sementara LRA Langat dan Cheras pada 8 Oktober lalu susulan bekalan air mentah dikesan mempunyai bau yang luar biasa setelah disyaki berpunca dari Sungai Semantan di Pahang.

Dr Zaki berkata pendekatan lain bersifat lebih ekonomi seperti menggunakan sumber air di bahagian hulu sungai juga boleh membantu mengurangkan risiko pencemaran terhadap bekalan air mentah yang disalurkan kepada loji rawatan.

Katanya, kebanyakan LRA di negara ini dilihat menggunakan sumber air di bahagian hilir sungai di mana kawasan sekitarnya pesat membangun sehingga penurunan kualiti air kawasan berkenaan berbanding punca di hulu yang lebih bersih dan bebas pencemaran.

"Namun ada pihak menolak cadangan ini kerana mendakwa faktor geografi yang menunjukkan jarak kawasan hulu terlalu jauh untuk diakses bagi pengaliran air ke LRA," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusoff Ishak yakin pakar akademik dan penyelidik dalam bidang berkaitan di universiti awam negara ini sedia bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu pencemaran air.

"Kita memiliki ramai pakar yang mencukupi dalam bidang pengairan, saliran dan alam sekitar sudah semestinya mereka sedia membantu kerajaan untuk menyelesaikan isu berbangkit ini.

"Ia melibatkan kepentingan masyarakat dan tiba masanya semua pihak berusaha mencari penyelesaian agar bersifat proaktif bukannya reaktif atau bersifat jangka pendek," katanya.

Tambahnya, kerajaan persekutuan dan negeri perlu berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang bersifat kebersamaan dalam aspek pengurusan air mahupun pencemaran alam sekitar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain