suria

Kanak-Kanak Hilang Ditemui

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas menumpang motosikal seorang lelaki berikutan motosikal bapa tirinya pancit di Jambatan Pulau Pinang, di sini Jumaat, ditemui selamat di Taiping, Perak pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata Mohammad Muzzafar Mohammad, 11, ditemui oleh anggota Balai Polis Taiping di perhentian bas kira-kira 7 malam Sabtu.

"Kami baru terima maklumat yang kanak-kanak itu telah ditemui di Taiping. Anggota polis Taiping bawa kanak-kanak itu ke balai sebelum menghubungi sekolah asrama tahfiz berdasarkan tulisan di baju T kanak-kanak itu," katanya dalam kenyataan di sini malam Sabtu.

Beliau berkata anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dalam perjalanan membawa pulang kanak-kanak berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, bapa tiri Mohammad Muzzafar baru mengambilnya dari sebuah sekolah tahfiz di Seberang Jaya dengan menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini, tiba-tiba tayar belakang motosikal itu pancit.

Bapa tiri kanak-kanak itu kemudian berhenti di tepi jalan jambatan berkenaan dan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang menunggang motosikal jenis Kriss warna hitam kebetulan melalui kawasan tersebut, mempelawa untuk membantu mereka dengan menumpangkan kanak-kanak berkenaan menaiki motosikalnya.

Bapa tiri mangsa membenarkan anak tirinya menumpang lelaki itu sambil dia mengekori mereka dari belakang dan sehingga tiba di simpang masuk Jalan Haji Ahmad Nor beliau telah ketinggalan jauh di belakang serta sudah tidak nampak kelibat mereka.

Kehilangan kanak-kanak itu turut menjadi viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak Jumaat.

Sementara itu, bapa tiri Mohammad Muzzafar, Sabri Abdul Ghani, 53, berkata beliau membenarkan anak tirinya itu membonceng motosikal lelaki terbabit kerana dimaklumkan lelaki itu juga dalam perjalanan ke Sungai Pinang dan beliau tidak mengesyaki apa-apa.

"Sampai di persimpangan lampu isyarat simpang kedai sembilang di Lebuh raya (Tun Dr Lim Chong Eu) lelaki itu tiba-tiba belok ke kiri menghala ke Jelutong dan saya kejar dia sehingga sampai lampu isyarat satu lagi di situ tetapi mereka telah hilang dengan sekelip mata," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai polis bantuan di sebuah hotel itu bertindak mencari anak tirinya dan lelaki itu di flat tempatnya tinggal dan kawasan sekitar Sungai Pinang tetapi tidak menjumpai mereka

Ibu Mohammad Muzzafar, Amnah Basri, 35, yang tidak tidur sejak Jumaat kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu melahirkan rasa syukur selepas mendapat maklumat daripada polis memaklumkan anak tunggalnya ditemui selamat.- BERNAMA

kanak-kanak, hilang, PDRM

Artikel Lain