suria

21 Gerabak Tren Tergelincir, Perkhidmatan Laluan Utara-Selatan Tergendala

21 gerabak tergelincir dari landasan berhampiran Kampung Bakap, awal pagi Jumaat. Kejadian berlaku kira-kira 3.15 pagi dan turut melibatkan kebakaran kecil namun api berjaya dikawal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 
-fotoBERNAMA
IPOH: Sebanyak 21 gerabak tren kargo, dua daripadanya lokomotif, tergelincir dari landasan di Kampung Bakap, Batu Gajah awal hari Jumaat.

Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak Mohd Khairul Jamil berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada pukul 3.43 pagi itu disebabkan kereta api 41 gerabak itu tidak membawa penumpang.

Beliau berkata tren kargo dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di sini dipercayai kosong kerana mahu mengambil muatan simen.

Dua orang pemandu tren itu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.


"Terdapat kebakaran kecil pada bahagian enjin gerabak dan anggota bomba hanya dibenar masuk ke lokasi setelah bekalan elektrik di kawasan itu ditutup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Berikutan kemalangan itu, landasan kereta api bagi laluan utara serta selatan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pengalihan gerabak.

Mohd Khairul berkata dua jentera dengan 16 anggota serta pegawai terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan pengalihan gerabak.

Sementara itu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan pada Jumaat berkata perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran tren kargo ini.

"Dua lokomotif dan 25 gerabak kosong telah tergelincir dan menghalang kedua-dua landasan.

"Ini menyebabkan semua tren yang melalui laluan ini telah terhalang dan penumpang yang menggunakan beberapa perkhidmatan tren dari Kampar-Ipoh-Kampar akan dipindahkan menggunakan bas," menurut kenyataan itu.


Maklumat mengenai insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan.

gerabak tergelincir, KTMB, Batu Gajah

Artikel Sebelum

Artikel Lain