suria

Syabas Usaha Percepat Pemulihan Bekalan Air

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berkata pihaknya sedang berusaha untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di USJ, Subang Jaya, Bandar Puteri Puchong dan Puchong yang mengalami gangguan bekalan air selama empat hari sejak Isnin lepas.

"Kawasan di daerah Kuala Langat dan Sepang di Zon 2 telah pulih sepenuhnya, manakala Zon 2 di daerah Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat pemulihan 98 peratus dan 80 peratus," menurut kenyataan yang dikeluarkan Syabas malam Khamis.

Bagaimanapun, bekalan air di USJ dan Bandar Puteri Puchong di bawah Zon 2 akan dipulihkan secara berperingkat yang mana bekalan air di kawasan yang terlibat dijangka pulih sepenuhnya Sabtu ini.

Syabas berkata selepas loji rawatan air beroperasi semula, permintaan bekalan air telah melonjak naik empat kali ganda bagi mengisi kolam takungan perkhidmatan, tangki simpanan premis, paip agihan dan simpanan panik oleh pengguna.

Beberapa kawasan di USJ, Subang Jaya, Bandar Puteri Puchong dan Puchong mengalami gangguan bekalan air berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih ditutup selama 30 jam akibat pencemaran bau di Sungai Buah, Negeri Sembilan.

Sementara itu, bantuan air akan terus dibekalkan oleh 14 buah lori tangki (5,600 liter) dan disokong oleh empat lori tangki jumbo (33,000 liter) sebagai stesen isian di Bandar Puteri Puchong dan USJ.

Syabas akan menggerakkan enam buah lori tangki lagi di kawasan-kawasan terlibat esok.

Pelanggan boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar alamat premis ke SMS 15300.

Pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan ini melalui aplikasi telefon bimbit pintar 'mySYABAS' dan www.syabas.com.my.


Artikel Berikut

Khairuddin 'Tinggalkan' Tun M

Artikel Lain