suria

Plus Tawar Rebat Tol 20 Peratus

KUALA LUMPUR: Sempena cuti perayaan Deepavali Sabtu ini, pengguna rangkaian lebuh raya Plus yang membayar tol secara elektronik akan menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad Datuk Noorizah Abd Hamid dalam kenyataan hari ini berkata rangkaian berkenaan meliputi Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

"Ia diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PlusMiles, kad Touch 'n Go dan SmartTag.

"Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 km pada 29 Oktober ini," katanya.

Noorizah berkata pada tarikh itu, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch 'n Go atau kad PlusMiles masing-masing apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh tiga bulan (15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017) di pusat khidmat pelanggan di lebuhraya Plus.

Beliau berkata pemberian rebat itu adalah antara strategi Plus bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas.

Bagaimanapun, Noorizah berkata rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau berkata Plus telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bersempena perayaan Deepavali bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan.

Noorizah berkata berdasarkan jadual TTA tersebut, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis dan Kedah disaran supaya memasuki Lebuhraya  Utara-Selatan lebih awal iaitu antara 6 pagi hingga 10 pagi.

"Orang ramai yang menuju ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) dinasihatkan memasuki lebuh raya antara 10 pagi hingga 6 petang," katanya.

Plus turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak tujuh peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari mulai hari ini hingga 1 Nov sempena perayaan Deepavali berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

Orang ramai boleh merujuk kepada jadual TTA itu di laman sesawang Plus di pautan www.plus.com.my, mengikuti laman Twitter PlusTrafik atau laman Facebook PlusMiles.

Plus, Deepavali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain