suria

Wartawan mStar Online Genggam Ijazah

Lyna meraikan hari istimewa bersama kedua ibu bapanya.

PETALING JAYA: Azlina Mazli, wartawan mStar Online antara lebih 1,000 graduan yang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-85 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam pada petang Selasa.

Beliau menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) dengan Kepujian Kelas Dua Atas.

Azlina atau lebih mesra disapa Lyna bersyukur kerana penat lelahnya selama ini membuahkan hasil selepas menerima ijazah berkenaan daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Salehuddin Mohamed.

"Perasaan bercampur baur, syukur dan gembira. Pada masa sama terharu kerana saya akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah.

"Terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan. Saya dedikasikan kejayaan ini kepada mereka," kata gadis berusia 24 tahun itu yang juga personaliti Lensa mStar.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu menyertai mStar Online, portal berita bahasa Melayu Kumpulan Media The Star pada Jun lalu.

Pada masa sama, gadis kelahiran Selangor itu berazam untuk mengembangkan kariernya dalam bidang kewartawanan selain menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana pada masa hadapan.

"Saya masih baharu lagi dalam dunia kewartawanan, perjalanan masih lagi panjang. Buat masa ini, saya akan lakukan yang terbaik dalam mengembangkan karier saya.

"InsyaAllah jika diberikan peluang suatu hari nanti, saya mahu menyambung pengajian di peringkat Masters (Ijazah Sarjana)," katanya.










Azlina Mazli, konvokesyen, UiTM

Artikel Lain