suria

Jika Saya Memalukan, Begitu Juga Semua Ahli Parlimen - Pandikar Amin

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyelar Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang menyifatkan beliau sebagai 'memalukan' dan berkata ahli Parlimen boleh untuk tidak bersetuju dengan keputusan beliau melalui saluran yang betul.

"Adakah saya benar-benar memalukan Parlimen? Adakah tindakan saya menegur seorang ahli Parlimen yang tidak mematuhi aturan urusan mesyuarat menjadikan saya seorang yang memalukan?," katanya.

Pada Selasa, Pandikar Amin mengarahkan Lip Eng keluar dari Kamar Khas Dewan Rakyat selepas berlaku satu perbalahan.

Lip Eng kemudian mengadakan sidang akhbar dan melabelkan tindakan Pandikar Amin sebagai memalukan Parlimen dan meminta beliau meletak jawatan.

Pandikar Amin menegaskan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengutamakan aturan urusan mesyuarat.

"Jika ada yang membenci Pandikar jangan membenci kedudukan Speaker kerana ia adalah ketua Dewan Rakyat.

"Jika ada yang tidak bersetuju dengan keputusan Speaker, kemukakan usul dan saya masukkannya dalam aturan urusan mesyuarat. Tetapi jangan mengutuk kedudukan Speaker," katanya.

Beliau menambah jika beliau 'memalukan', begitu juga semua ahli Parlimen.

"Kamu semua beritahu jika saya benar-benar memalukan, maka saya akan keluar.

"Tetapi jika saya berbuat demikian, maka kita semua perlu meletakkan jawatan kerana kita semua adalah memalukan," katanya.

Artikel Lain