suria

F1 Masih Tarikan Utama Pelancong

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya Malaysia menghentikan penganjuran perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) di Sepang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Timbalan Menteri Pelancongan itu berkata tindakan menghentikan acara sukan berprestij berkenaan mungkin boleh memberikan kesan negatif.

"Dari perspektif industri, ia memberi negara profil yang baik.

"Ia membantu menarik kehadiran pelancong ke negara ini," katanya.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata kementerian itu perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum menarik keluar acara tersebut daripada kalendar.

"Kita perlu melihat kesan jangka pendek dan jangka panjang juga.

"Walaupun ia digantikan dengan acara lain, kita tidak tahu acara pengganti itu boleh menarik kehadiran penonton atau sekurang-kurangnya setanding dengan F1," katanya.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya Malaysia menghentikan penganjuran perlumbaan F1 berikutan kos penganjurannya yang tinggi.


F1, Kementerian Pelancongan

Artikel Lain