suria

Persoalan 1MDB Ahmad Husni Perlu Diberi Perhatian - Annuar

PETALING JAYA: Persoalan berkaitan 1MDB yang ditimbulkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah harus dilihat dari sudut positif dan mendapat perhatian serius kerajaan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan Umno itu berpendapat, semua pihak seharusnya menghormati peranan dan tugas Ahli Parlimen selagi ia dilaksanakan dengan niat dan pada tempat betul.

“Saya telah mengikuti dengan teliti persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN-Tambun) ketika berucap membahaskan belanjawan 2017 di Parlimen baru-baru ini.

"Saya berpandangan kita seharusnya memberi perhatian terhadap isu yang dibangkitkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".

Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.

Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu yakin kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi penjelasan kepada soalan yang dibangkitkan itu.

Katanya, ketika ini, pelbagai langkah memperbaiki segala kelemahan sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak yang berwajib.

"Sebenarnya, sebahagian persoalan yang beliau bangkitkan itu telah pernah dijawab oleh beliau sendiri sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan Kedua.

"Antaranya kenyataanya pada Februari tahun lalu bahawa 1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan," katanya.

Malahan kata Annuar, tiada fakta baru yang Ahmad Husni kemukakan dan persoalan lain yang dilontarkan adalah bersifat kebimbangannya.

Ahmad Husni dilantik Menteri Kewangan Kedua pada April 2009, beberapa bulan sebelum perjanjian utama pertama 1MDB melibatkan PetroSaudi International.

Beliau meletak jawatan dari Kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Jun 2016.

Ahmad Husni bagaimanapun kekal sebagai ahli Umno dan kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tambun untuk penggal kelima.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain