suria

Tiada Kajian Letak Tikus, Nyamuk Bersama Banduan - Zahid

KUALA LUMPUR: Tiada kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penjara untuk menempatkan banduan bersama tikus dan nyamuk dengan tujuan membuatkan pesalah berasa menyesal atas jenayah yang dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Zahid Hamidi berkata, pihak penjara memiliki undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk melayan banduan yang sedang menjalani hukuman.

"Selagi banduan menjalani hukuman, segala kebebasannya tertakluk kepada peraturan penjara, Peraturan Asas Pertubuhan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang berkaitan.

"Jadi Jabatan Penjara tidak pernah menjalankan kajian untuk meletakkan tikus dan nyamuk bersama banduan bagi tujuan menginsafkan mereka,"kata Ahmad Zahid ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di Parlimen, Isnin.

Selain itu, Ahmad Zahid menjelaskan, Jabatan Penjara akan memastikan tempat tahanan banduan berada dalam keadaan bersih, kemas serta menyediakan keperluan asas, makanan dan rawatan perubatan.

Dalam soalan soalan berasingan oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata, seramai 16 banduan telah menjalani hukuman gantung sampai mati sejak 2014.

"Pada 2014, enam banduan yang dijatuhi hukuman mati, digantung manakala tahun lalu hanya seorang menjalani hukuman yang sama.

"Tahun ini, enam lagi banduan turut menjalani hukuman gantung sampai mati," katanya.

Mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasruriraani, Azalina menjawab, pihak Peguam Negara sedang menjalankan kajian secara terperinci keperluan untuk menghapuskan hukuman mati dan mandatori mati di negara ini.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain