suria

Tindakan Pantas Polis Elak Bersih, Baju Merah Bertembung

ANGGOTA polis dan FRU membentuk formasi bagi menghalang konvoi Bersih dan kumpulan Baju Merah bertembung di Klang pada 22 Oktober 2016.

KLANG: Tindakan pantas polis berjaya menghalang sebarang kejadian yang tidak diingini apabila konvoi Bersih bertembung dengan kumpulan Baju Merah di sini pada Sabtu.

Konvoi Bersih itu tiba di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tengah hari, tetapi kumpulan Baju Merah sudah sedia menunggu dengan membawa poster anti-Bersih.

Bagaimanapun anggota polis yang dibantu Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak pantas membentuk halangan bagi memisahkan kedua-dua kumpulan tersebut daripada bersemuka.

Konvoi bersih kemudiaannya beredar bagi mengelak bertembung dengan kumpulan Baju Merah tetapi kembali ke lokasi sama kira-kira pukul 3 petang.

Kedua-dua kumpulan meninggalkan kawasan terbabit kira-kira sejam kemudian.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan tunjuk perasaan selagi mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

Jelas beliau, konvoi Bersih tidak melanggar sebarang undang-undang kerana mereka telah memohon permit daripada pihak polis.

"Jika ada pihak mahu menganjurkan program dan mematuhi undang-undang, sudah pasti polis tidak akan menghalang mereka. Tetapi kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar peraturan dan mencetuskan kekecohan.

"Keselamatan merupakan kepentingan utama dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan penunjuk perasaan mematuhi undang-undang serta menepati janji mereka," katanya.

Bersih, Baju Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain