suria

Pemandu Teksi Ditawar Permit, Geran RM5,000 & Caruman Perkeso

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menawarkan permit teksi individu dan geran RM5,000 untuk pembelian teksi baharu kepada pemandu teksi yang layak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Prihatin terhadap keluhan dan permintaan pemandu teksi, perdana menteri berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk tujuan itu yang memberi manfaat kepada seramai 12,000 pemandu teksi yang layak dan tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka.

"Sememangnya kerajaan prihatin terhadap keluhan dan permintaan para pemandu teksi," katanya ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata memandangkan pada masa ini sebahagian besar pemandu teksi tidak dilindungi insurans, skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan juga akan diperkenalkan dengan geran pelancaran RM60 juta.

Katanya di bawah skim itu, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar RM157 hingga RM443 setahun, iaitu hanya RM13.08 sebulan.

Sekiranya berlaku kemalangan sewaktu bekerja, mereka layak membuat tuntutan daripada Perkeso.

"Contohnya pemandu teksi yang hilang upaya kekal akan menerima bayaran pukal berjumlah RM43,000 hingga RM121,000 dan bayaran bulanan antara RM1,281 hingga RM2,624 sepanjang hayat.

"Sekiranya pemandu tersebut meninggal dunia, warisnya akan mendapat Faedah Orang Tanggungan pada kadar RM945 hingga RM2,655 sebulan," katanya. - BERNAMA

Perkeso, permit individu, geran

Artikel Lain