suria

Pelepasan Cukai Sehingga RM1,000 Untuk Pembelian Peralatan Penyusuan Ibu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu kepada pembayar cukai wanita yang mempunyai anak berumur sehingga dua tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini Jumaat berkata pelepasan itu diberikan setiap dua tahun sekali, mulai tahun taksiran 2017.

Pembelian peralatan penyusuan susu ibu itu boleh dibuat secara set lengkap atau berasingan yang merangkumi pam susu (manual atau elektrik), bekas penyejuk, bekas pengumpulan dan penyimpanan susu.

Beliau berkata langkah itu sebagai sokongan kepada wanita berkerjaya yang masih menyusukan anak dan galakan kepada mereka untuk kembali bekerja serta meneruskan penyusuan bayi.

Najib berkata selain itu, bagi meringankan beban ibu bapa yang bekerja, kerajaan juga memberikan pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada individu yang menghantar anak berumur enam tahun dan ke bawah ke taman asuhan dan prasekolah yang berdaftar.

"Pelepasan itu akan bermula pada tahun taksiran 2017 dan kerajaan menganggarkan 40,000 individu akan mendapat manfaat daripada pelepasan cukai ini," katanya.

Sementara itu, dalam menghargai peranan wanita dalam pembangunan negara, kerajaan menyediakan RM2 bilion untuk program-program I-KIT, I-KeuNita dan program Wanita Kembali Berkerjaya.

Kerajaan juga turut menyediakan RM30 juta untuk wanita menjalani pemeriksaan mamogram dan suntikan imunisasi Human Papillomavirus (HPV) untuk mencegah kanser secara percuma. - BERNAMA

Artikel Lain