Air Pasang: Jumlah Penduduk Selangor Dipindahkan Meningkat - Semasa | mStar

Air Pasang: Jumlah Penduduk Selangor Dipindahkan Meningkat

PENDUDUK kampung cuba menyelamatkan motosikalnya selepas rumahnya dinaiki air akibat fenomena air pasang besar di Kampung Batu 5, Jalan Kapar, Klang pada 17 Oktober 2016. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Jumlah penduduk yang dipindahkan ekoran fenomena air pasang besar di Selangor, meningkat kepada 482 orang pagi Selasa berbanding 459 orang malam Isnin.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.

Katanya, sehingga 9 pagi Selasa jumlah mangsa yang berada di pusat itu adalah sebanyak 152 orang berbanding 133 malam Isnin.

Selain Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali di Kapar, terdapat empat lagi pusat pemindahan dibuka di negeri ini ekoran fenomena tersebut iaitu Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda juga di Kapar yang menempatkan 236 orang, Dewan Seri Sekinchan (dua orang), Dewan Sungai Air Tawar (63 orang) dan Dewan Parit Baru (29 orang) di Sabak Bernam.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Ahmad Afandi Mohamad, dalam kenyataan berkata ban Sungai Keramat yang pecah di Kampung Batu 5 akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki serta merta dan kawasan itu kini dalam pemantauan agensi keselamatan.

Di daerah Sabak Bernam pula, Ahmad Afandi berkata kawasan seperti Sungai Lang, Pantai Batu 23 dan Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar turut dinaiki air akibat fenomena itu, namun keadaannya terkawal dan air mulai surut.

"Terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat," katanya.

Di PERAK, kawasan yang terjejas ekoran fenomena sama kekal lima iaitu Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin berkata limpahan air pasang di kawasan berkenaan berlaku kira-kira 5 pagi sebelum surut sejam kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Hilir Perak Zulhisham Ahmad Shukori memaklumkan lima kawasan di Teluk Intan dinaiki air awal pagi tadi iaitu Kampung Batu 7 1/2 Jalan Maharajalela, Kampung Seri Jaya Batu 6, Lorong Kalat Batak Rabit, Jeti Pak Ali Sungai Jelawat dan Kampung Esso.

Katanya air mula memasuki kawasan dan halaman rumah penduduk sekitar 4 pagi, namun tiada pemindahan dilakukan kerana air surut sepenuhnya pada 7.30 pagi.

Di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis, keadaan di kawasan itu dalam keadaan terkawal biarpun air pasang mula naik secara berperingkat mulai pukul 2.30pagi.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, M. Sasitharan berkata paras air di kawasan berkenaan mencatatkan 3.3 meter dari paras laut setakat 5.45 pagi.

"Bagaimanapun, air mula surut pada pukul 6 pagi. Cuaca juga dalam keadaan baik dan tiada banjir berlaku di kawasan ini," katanya. - BERNAMA

Air Pasang , Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Selangor Penerima BR1M Tertinggi

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain

BN kekalkan kerusi Parlimen Kimanis