suria

Ops Water: Timbalan Pengarah, 'Datuk' & Akauntan Bebas Tahanan Reman

KOTA KINABALU: Tiga lagi suspek, masing-masing timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersama adiknya yang bergelar 'Datuk' dan seorang akauntan yang ditahan berhubung kes penyalahgunaan dana projek infrastuktur di negeri itu dibebaskan daripada tahanan reman pada pagi Isnin.

Pegawai kanan jabatan itu dan adiknya dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM500,000 tanpa deposit dengan dua penjamin setiap seorang.

Selain itu, akauntan kepada 'Datuk' itu dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 juga tanpa deposit dengan dua penjamin.

Mereka juga telah diarah untuk melaporkan di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Majistret Stephanie Sherron Abbie membuat keputusan itu di dalam kamarnya.

Ketiga-tiga suspek adalah antara lima yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan kontrak projek persekutuan bernilai RM3.3 bilion yang disalurkan kepada jabatan itu sejak 2010.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembebasan ketiga-tiga suspek itu.

Katanya, mereka akan dipanggil semula untuk membantu siasatan jika perlu pada bila-bila masa.

"Siasatan masih dijalankan dan akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," kataya.

Sementara itu, pengarah JANS yang tamat tempoh tahanan reman pada Ahad dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000.

Sumber SPRM berkata, siasatan masih berjalan dan sehingga kini, 82 termasuk kontraktor, keluarga dan pegawai-pegawai jabatan telah dirakam keterangan dalam kes itu.

SPRM telah merampas  RM114 juta aset termasuk RM53.7juta dalam bentuk wang tunai yang disimpan di rumah-rumah dan pejabat kedua-dua pegawai kanan tersebut.

Turut dikesan RM30 juta disimpan di bank-bank asing dan RM30 juta bagi di 127 hak milik tanah untuk perumahan, pertanian dan kegunaan komersial.

Selain itu juga turut dirampas sembilan kenderaan bernilai RM2.7juta di rumah pelbagai jenis barang kemas bernilai RM3.64 juta dan beg tangan berjenama yang berjumlah RM500,000.

Dalam pada itu, tiga pekerja Jabatan Air Sabah secara sukarela menyerah diri bersama RM1 juta, yang didakwa diambil dalam proses meluluskan projek air di bawah peruntukan persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain