suria

Kanser: Majikan Disaran Tawar Insurans Khas

KUALA LUMPUR: Majikan di seluruh negara disaran agar menawarkan insurans khas kepada pekerja wanita terutama mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

"Saya dimaklumkan bahawa kos untuk merawat penyakit kanser adalah RM60,000 atau lebih. Jadi, kalau boleh, kita hendak pekerja wanita ini diberi insurans  khas oleh majikan mereka terutama berkenaan kanser payudara.

"Kita (kementerian) hendak bincang dengan syarikat insurans berhubung "syndication policy". Melalui polisi sebegini, pekerja wanita hanya perlu membayar premium yang minimum untuk mengurangkan beban kewangan," katanya ketika merasmikan kempen "Hospital Kuala Lumpur (HKL) Pink October 2016" di HKL, di sini, Sabtu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata beliau amat mengalu-alukan program HKL bersama masyarakat mengenai kesedaran pengesanan awal penyakit kanser.

Terdahulu, beliau melepaskan konvoi "HKL Pink October Harley Ride" yang terdiri daripada 200 penunggang motosikal antaranya kakitangan HKL dan orang awam.

Selain itu, Johari merasmikan Pusat Sumber Kanser Payudara HKL yang terletak di Aras 6, Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) HKL.

Pusat sumber itu merupakan pusat sehenti bagi pesakit serta orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan konsultasi mengenai kanser payudara.

Antara pengisian kempen selama seminggu bermula hari ini ialah klinik pemeriksaan payudara secara percuma selain pameran "Pink October" di ruang legar SCACC.

Turut hadir pada majlis itu, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain. - BERNAMA

Kanser, Datuk Johari Abdul Ghani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain