suria

Pengurus TNB KB Didakwa Rasuah, Ubah Wang Haram RM125,000

Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu Arman Che Othman, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas 13 tuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah yang berjumlah RM125,200, tiga tahun lalu.

KOTA BARU:Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, Arman Che Othman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM125,200.

Arman, 47, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Tertuduh menghadapi 11 pertuduhan mengikut Sekyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama sementara dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi 11 pertuduhan itu, Arman dituduh sebagai seorang ejen kepada TNB iaitu Pengurus TNB Tanah Merah menerima suapan wang tunai keseluruhan RM61,000 daripada syarikat kontraktor sebagai upah meluluskan laporan kerja projek.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga cawangan Public Bank di Kota Bharu dan Tanah Merah antara September 2013 dan Julai 2014.

Pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 itu, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Arman didakwa melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Di bawah pertuduhan itu, dia didakwa menggunakan wang RM9,000 daripada akaun milik KS Maju Solution, hasil aktiviti haram di Public Bank cawangan Wakaf Siku antara 18 Sept 2013 dan 21 Disember 2013.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram iaitu menggunakan wang RM55,200 daripada akaun milik KS Maju Solution di tempat sama antara 1 Januari 2014 dan 18 Oktober 2014.

Di bawah akta itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Hakim Nazri membenarkan Arman diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.Tertuduh membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanifah manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.-- Bernama

TNB, SPRM, Amran Che Othman

Artikel Berikut

Artikel Lain