suria

TPM Tiba Di Arab Saudi Untuk Lawatan Rasmi

Ahmad Zahid Hamidi.

RIYADH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini pada Rabu bagi melakukan lawatan rasmi lima hari ke Arab Saudi.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis mendarat di pavilion diraja King Khalid International Airport pada 10.15 malam (waktu Malaysia).

Ketibaan timbalan perdana menteri disambut Setiausaha Bahagian Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi Dr Ahmed Mohammad Al-Salim dan Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin.

Ini lawatan sulung Ahmad Zahid ke Arab Saudi selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.

Delegasi beliau turut disertai Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri PandikarAmin Mulia dan pegawai kanan kerajaan daripada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Luar.

Pada Khamis (13 Okt), timbalan perdana menteri dijadual menghadap RajaSalman Bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Abdulaziz Al-Sauddan Timbalan Putera Mahkota Putera Mohammed Bin Salman Abdulaziz Al-Saud.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, kemudiannya akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau Mohammad Bin Naif Abdulaziz Al-Saud,yang juga Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Ini disusuli dengan lawatan ke pusat deradikalisasi Arab Saudi Arabia iaitu 'Mohammad Bin Naif Counseling and Care Centre'.

Timbalan perdana menteri dijangka diberi taklimat berhubung inisiatif ArabSaudi dalam memerangi keganasan dan program deradikalisasi bagi golongan ekstremis di pusat berkenaan.

Beliau akan turut bertemu 250 rakyat Malaysia, termasuk pelajar dan ekspatriat yang bekerja di Riyadh, dalam majlis makan malam di sini.

Pada hari ketiga lawatan ke Arab Saudi, timbalan pedana menteri akan berlepas ke Madinah dan dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Nabawi sebelum bertemu komuniti Malaysia di Madinah dalam majlis makan tengah hari,diikuti ziarah ke Makam Rasulullah SAW pada sebelah malam.

Pada Sabtu (15 Oktober), Ahmad Zahid dijadual melawat Madinah's Knowledge Economic City dan Dar Al-Madinah Museum sebelum berlepas ke Jeddah.

Beliau dijadual mengerjakan umrah di Makkah pada Sabtu malam.

Selepas melaksanakan 'tawaf Wida', beliau dan rombongan akan kembali ke Jeddah dan pulang ke tanah air pada Ahad.

Kenyataan Kementerian Luar menyebut lawatan itu akan memberi peluang terbaik kepada pemimpin Malaysia dan Arab Saudi membincangkan isu berkepentingan bersama terutamanya dalam bidang keselamatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain