suria

Lelaki Ditahan Miliki Buku Lima

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki buku lima yang boleh dilaras menjadi pisau lipat dalam pemeriksaan Op Cantas di sebuah premis perniagaan di Jalan Persiaran Gemilang 2, di sini awal pagi Ahad.  

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Roz Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam operasi pukul 2.20 pagi itu, sepasukan polis yang membuat pemeriksaan di premis berkenaan menahan lelaki tersebut yang berusia 27 tahun.

"Lelaki yang bekerja sendiri itu ditahan selepas pemeriksaan ke atasnya menemui satu buku lima yang disembunyikan dalam beg yang dibawanya," katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan kerana memiliki senjata berbahaya.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sama ada lelaki itu terlibat dalam aktiviti jenayah. -Bernama

Buku lima

Artikel Lain