suria

Pinda Akta Syariah, Bendung Perkahwinan Bawah Umur

KUALA LUMPUR: Seorang bekas hakim syariah menggesa supaya undang-undang syariah dipinda bagi membendung perkahwinan kanak-kanak.

Bekas ketua hakim syariah dan Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, umur minimum untuk perempuan Muslim berkahwin adalah 16 tahun.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan undang-undang sedia ada, gadis di bawah umur masih boleh berkahwin jika mendapat kelulusan ketua menteri.

Merujuk kepada al-Quran, beliau berkata Islam menggalakkan perkahwinan untuk orang dewasa sahaja.

"Untuk mengelakkan sebarang komplikasi masa depan seperti masalah perceraian dan kesihatan, kita perlu menyeragamkan undang-undang syariah dan menetapkan umur minimum untuk berkahwin adalah 18 tahun," katanya pada satu forum mengenai perkahwinan kanak-kanak.

Pindaan ini akan mencegah perkahwinan di bawah umur, kata Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Rozana Isa.

"Kebimbangan kami adalah bahawa Islam sedang dimanipulasi.

"Untuk melepaskan diri dari jenayah, perogol sanggup berkahwin dengan mangsa mereka - walaupun mereka berada di bawah umur," katanya.

Forum anjuran SIS bertajuk "Nikah Bawah Umur: Cinta atau Eksploitasi" turut menampilkan ahli panel seperti wakil UNICEF ke Malaysia, Marianne Clark-Hattingh dan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Syariah Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari.

Pindaan undang-undang iaitu syariah dan sivil turut dibangkitkan semasa forum itu.

Kuthubul mencadangkan pindaan Seksyen 10 Undang-Undang Sivil Malaysia berkaitan dengan perkahwinan kanak-kanak.

"Ketua Menteri mesti memikirkan mengenai apa yang terbaik kepada kanak-kanak itu dalam fikirannya apabila berhadapan dengan permintaan untuk membenarkan perkahwinan bawah umur.

"Bagaimana kita boleh membenarkan perogol mengahwini mangsanya? Undang-undang ini perlu diubah," katanya.

Walau bagaimanapun, Clark-Hattingh berkata bahawa perubahan undang-undang tidak cukup untuk menghalang perkahwinan di bawah umur daripada berlaku.

Perkahwinan Kanak-Kanak

Artikel Sebelum

Artikel Lain