suria

Produk Tradisional Aman Liquid Dikesan Ada Bahan Terlarang - KKM

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai tidak membeli atau menggunakan produk tradisional 'Aman Liquid' kerana dikesan mengandungi 'yohimbine', iaitu sejenis bahan racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu telah dibatalkan pihak berkuasa Kawalan Dadah pada 27 September lalu berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

Beliau menerangkan 'yohimbine' adalah sejenis alkaloid yang kebiasaannya diperoleh daripada tumbuhan Puasinystalia yohimbe dan digunakan dalam rawatan kegagalan erektil.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata yohimbine tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. 

"Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, insomnia, halusinasi dan mania," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, yohimbine boleh memberi kesan mudarat kepada golongan tertentu seperti perempuan mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk berkenaan untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

"Penjual adalah diingatkan pemilikan produk ini untuk jualan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.  

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," terang beliau.  

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk tersebut untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat doktor jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.

Individu juga boleh menghubungi Agensi Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 untuk pertanyaan atau maklumat lanjut dan menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ - Bernama

Aman Liquid

Artikel Lain