suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pencemaran Bau: Loji Rawatan Air Langat, Cheras Ditutup

SHAH ALAM: Loji rawatan air Langat dan Cheras ditutup malam tadi ekoran pencemaran bau disyaki dari Sungai Semantan di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong berkata loji rawatan air Langat dan Cheras ditutup masing-masing pada jam 8.30 malam dan 10 malam.

Beliau berkata alur keluar Sungai Serai yang menerima air dari saluran khusus di Sungai Semantan, Pahang, didapati mempunyai bau yang luar biasa pada 7.30 malam tadi.

"Kami telahpun menghubungi Badan Kawalselia Air Pahang yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar Pahang.

"Sementara itu pasukan pemantauan sungai Kumpulan Air Selangor (Air Selangor) kini berada di Pahang untuk membantu mereka mengesan sumber pencemaran itu.

Pada masa sama, air dari Empangan Sungai Langat dilepaskan pada 9.45 malam bagi mengurangkan pencemaran bau dalam air mentah," katanya menerusi kenyataan, Sabtu.

Sehubungan itu, kata Wong, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan sebahagian daripada Petaling selain Hulu Langat akan mengalami gangguan air sementara.

Beliau berkata bantuan bekalan air akan dihantar menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas dan premis kritikal, misalnya hospital dan pusat dialisis.

Wong berkata bagi mengelak kesesakan di pusat panggilan Syabas, pengguna dinasihati supaya memuat turun aplikasi telefon pintar 'mySyabas' atau melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Permohonan untuk mendapatkan bantuan air boleh dibuat dengan menghantar SMS ke 15300, katanya.

Baru-baru ini, loji rawatan air Semenyih ditutup empat kali berikutan pencemaran di Sungai Semenyih, yang mengakibatkan gangguan air di beberapa kawasan seperti daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Operasi di loji rawatan air Semenyih akan bersambung pada Rabu.-- Bernama

Artikel Lain