suria

12 Kanak-Kanak Diselamatkan

Gambar hiasan.

IPOH: Seramai 12 kanak-kanak perempuan warga tempatan diselamatkan daripada menjadi mangsa eksploitasi sindiket untuk meminta sedekah dalam operasi di sini Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 11 hingga 13 tahun itu diselamatkan dalam Op Pintas dari pukul 11.15 malam semalam hingga 1.45 pagi Sabtu.

Katanya operasi itu disertai sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut Gan, semua kanak-kanak itu disyaki mangsa yang diperdagangkan mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) (Eksploitasi kanak-kanak).

"Dalam operasi ini seorang lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 40-an ditahan kerana disyaki terlibat dalam eksploitasi kanak-kanak dengan menjadikan mereka peminta sedekah, menjual ubat-ubatan herba dan kalendar Islam," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Menurut Gan, polis turut merampas pelbagai barangan daripada suspek termasuk 376 botol ubat herba/minyak; wang tunai RM2993.80; mata wang Indonesia bernilai Rp100,000; buku catatan kutipan hasil oleh mangsa serta dua pasport.

Gan berkata kedua-dua suspek direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 ATIPSOM yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun tetapi tidak lebih 20 tahun dan denda.

Sementara itu, semua mangsa ditempatkan selama 21 hari di rumah perlindungan kanak-kanak dan wanita di Rembau, Negeri Sembilan.

"Jabatan Siasatan Jenayah Perak akan terus bekerjasama dengan lain-lain agensi kerajaan dalam membanteras kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya. - BERNAMA

kanak-kanak, eksploitasi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain