suria

TUDM Tubuh Lembaga Siasatan Insiden Helikopter Mendarat Cemas

Helikopter Nuri milik TUDM terhempas di Sekolah Menengah Kebangsaan Balung pada Selasa. fotoBERNAMA

TAWAU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan lembaga siasatan bagi menilai dan menganalisa kejadian helikopter Nuri mendarat cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung dekat sini, Selasa.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad berkata lembaga itu akan mengambil tindakan selanjutnya bagi menentukan helikopter Nuri miliknya sentiasa bersedia apabila hendak digunakan.

Beliau berkata anggota pasukan lembaga itu akan membawa keluar komponen dan keseluruhan badan pesawat itu bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu berlaku.

"Siasatan di tempat kejadian akan mengambil masa tiga hari...ia mengambil masa disebabkan kita harus menjaga komponen dalam pesawat dan tidak boleh diangkat sembarangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kejadian di SMK Balung.

Roslan turut bersyukur kerana 13 anggota TUDM dan sembilan orang awam yang terlibat dalam nahas itu hanya mengalami cedera ringan.

Beliau berkata hanya dua anggota TUDM iaitu juruterbang dan juruteknik pesawat berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Tawau.

Katanya seorang lagi juruterbang dan 10 anggota TUDM yang turut berada di dalam pesawat tersebut telah menjalani pemeriksaan dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Beliau berkata sembilan orang awam yang turut cedera dalam kejadian itu, terdiri daripada lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan di sekolah berkenaan, juga sudah menerima rawatan dan keluar daripada hospital.

Ditanya mengenai kronologi kejadian, Roslan berkata pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Tawau pada 7.35 pagi tadi menuju ke Semporna untuk melakukan latihan penerbangan biasa.

Katanya pesawat itu yang dikendalikan dua juruterbang dan seorang juruteknik, turut membawa 10 anggota TUDM untuk latihan mencari dan menyelamat menerusi udara.

Beliau berkata pesawat itu mendarat cemas pada 9.05 pagi ketika hendak menghampiri untuk mendarat di Lapangan Terbang Tawau.

SMK Balung terletak kira-kira sembilan kilometer dari Lapangan Terbang Tawau dan mempunyai 1,678 pelajar dan 116 guru. - BERNAMA

TUDM, helikopter nuri

Artikel Berikut

Artikel Lain