suria

Salah Faham Kulit Buku Punca Empat Rakyat Malaysia Ditahan

JAKARTA: Salah faham mengenai tajuk buku 'Manifesto Komunis' yang mempunyai lambang komunis iaitu tukul dan sabit adalah punca empat peserta Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa Indonesia ditahan polis.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim berkata, keempat-empat peserta Malaysia itu sebenarnya hanya diminta memberi keterangan di Balai Polis Daerah Metro Jaya di sini pada Ahad.

Katanya, pada mulanya polis merampas buku yang bertajuk 'Manifesto Komunis' setelah terlihat lambang tukul dan sabit, disebut 'palu arit' yang diharamkan di Indonesia.

"Setelah soal siasat, polis berpuashati bahawa isi kandungan buku itu ialah menceritakan kisah kekejaman komunis yang membunuh lebih sejuta orang hanya kerana ideologi dan keempat-empat mereka telah dibebaskan dari sebarang tuduhan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata, buku terbitan Thukul Cetak itu juga mencatatkan menifestasi Karl Marx dalam bahasa Melayu dan ia tidak mempunyai sebarang unsur negatif kecuali kulit buku yang mempunyai lambang komunis dan ia adalah sesuatu yang sensitif di Indonesia.

Pameran buku itu disertai oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)dan ketua pengarahnya Sakri Abdullah telah dibenarkan pulang pada Isnin setelah pasportnya diserahkan semula oleh Pejabat Imigresen di sini pada pukul 3 petang tadi.

Tiga lagi yang telah dibenarkan berlepas pulang semalam ialah penerbit buku itu, Zulfikri Zamir Mohamad Munir, Ketua Jabatan Buku Malaysia, Rozlan Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Buku, Khairul nizam Mohamad Yunis.

Pesta buku antarabangsa itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta mulai Khamis lepas dan berakhir semalam itu disertai oleh 22 buah syarikat penerbitan buku dari Malaysia.

Zahrain berkata, bagi pihak kerajaan, Kedutaan Besar Malaysia mengucapkan terima kasih kepada polis Indonesia.

Katanya, bagaimanapun, dalam masa yang sama ITBM perlu lebih sensitif dan harus memahami undang-undang sesebuah negara sebelum membawa buku-buku dari Malaysia untuk dipromosi atau dijual.

"Kita harus tahu perkara-perkara yang sensitif disesebuah negara dan ITBM seharusnya meletakan satu standard piawaian (SOP) kepada penerbit buku mengenai buku yang boleh dan tidak boleh dijual di luar negara," katanya.

Indonesia mengharamkan semua lambang, risalah atau buku yang berunsur propaganda dan simbol ideologi komunis dan pihak berkuasa pernah menahan pelancong asing yang mengenakan pakaian mempunyai lambang 'palu arit' di negara itu. -Bernama

'Manifesto Komunis'

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain