suria

Air Baharu Dimasukkan Dalam Kolam Taman Tema Air Bukit Merah Esok

Gambar Hiasan

BAGAN SERAI: Pihak pengurusan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) akan memasukkan air baharu di dalam kolam esok bagi mengelak jangkitan Rotavirus dan Gastroentritis Akut (AGE).

Pengurus Besar BMLR Kamal Hussein berkata air kolam di taman tema air itu telah dikeringkan sejak tiga hari lalu setelah mendapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Perak.

"Jabatan Kesihatan Perak sedang memantau operasi di taman tema itu termasuk kaedah penggunaan pengklorinan bagi mengelak jangkitan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan supaya pihak pengurusan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort menggunakan klorinator bagi menggantikan kaedah pengklorinan secara manual untuk mencegah jangkitan Rotavirus dan AGE.

Taman tema air itu ditutup selama 14 hari sejak Khamis lepas bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan selepas beberapa kes AGE dan Rotavirus dikesan dipercayai kerana mandi di pusat rekreasi tersebut. 

Setakat ini, 46 kes AGE direkodkan masing-masing 17 di Kedah dengan tiga daripadanya positif Rotavirus, Pulau Pinang (10 AGE, enam Rotavirus), manakala Perak 19 kes AGE.-- Bernama

Bukit Merah Laketown Resort, AGE

Artikel Lain