suria

Mesej Ahmad Zahid Pada Perbahasan Umum PBB Diterima Baik Negara Anggota - Anifah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perbahasan Umum Ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Mesej disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perbahasan Umum Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini diterima baik oleh negara anggota badan dunia itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ini dinyatakan oleh wakil masing-masing yang mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada timbalan perdana menteri atas kenyataan itu selepas beliau menyampaikannya.

"Adalah malang bahawa sesetengah rakyat Malaysia telah mengkritik dan memilih untuk menonjolkan cara penyampaian ucapan oleh timbalan perdana menteri daripada fokus dan mencerna mesej penting yang beliau sampaikan pada Perbahasan Umum PBB," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Anifah berkata PBB mempunyai keanggotaan yang pelbagai dan sering kali, pemimpin-pemimpin menyampaikan kenyataan mereka dengan loghat bahasa masing-masing.

"Apa yang penting adalah mesej yang disampaikan mereka difahami dan pandangan mereka diutarakan kepada anggota-anggota PBB," katanya.

Ahmad Zahid mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi-71, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), dengan beliau menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Perbahasan Umum pada 24 September.

Anifah juga berkata timbalan perdana menteri, antara lain, telah menyampaikan mesej dengan jelas bahawa Malaysia komited terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari yang terkandung di dalamnya.

"Beliau juga telah memberi penjelasan panjang lebar tentang pendirian Malaysia mengenai perubahan iklim, keganasan dan persoalan Palestin dan isu penempatan semula pelarian dan migran ke negara-negara ketiga," katanya. -- Bernama



PBB, Ahmad Zahid Hamidi, Anifah Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain